Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
meminta golongan muda yang ingin membeli rumah pertama agar berhubung
dengan pihak bank selaku pembiaya Skim Rumah Pertamaku dan bukannya
pihak pemaju.
Pengerusinya Datuk Wira Idris Haron
berkata hanya pihak bank sahaja yang mampu untuk meluluskan semua
permohonan pembelian rumah pertama di bawah skim tersebut.
“Ini kerana pihak bank mempunyai semua
data tentang maklumat peminjam sama ada seseorang itu benar-benar
pembeli rumah pertama atau sebaliknya.
“Dari situ juga pihak bank boleh
mengesahkannya dan sekiranya layak, pembeli rumah pertama di bawah skim
tersebut berhak memiliki rumah itu tanpa sebarang bayaran deposit,”
katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyampaian
Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 di Paya Rumput di sini, Selasa.
Idris berkata golongan muda atau pembeli
rumah pertama hanya perlu mencari rumah yang dikehendaki, mengisi
borang dan menghantarnya ke 25 buah institusi kewangan terpilih.
Beliau berkata skim tersebut tidak
terhad kepada kakitangan kerajaan sahaja di mana kakitangan swasta turut
berhak menikmati tawaran skim tersebut dengan syarat mereka adalah
pembeli rumah pertama.
Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan
pada 8 Mac lepas merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama Cagamas
Bhd dan institusi kewangan bagi mengurangkan beban golongan muda yang
menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di
lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.
Melalui skim tersebut, golongan muda
yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat
pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli
rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran
balik sehingga 30 tahun.
Sementara itu dalam majlis yang sama,
sebanyak 18 buah sekolah rendah di negeri ini menerima sumbangan
kewangan berjumlah RM77,000 daripada Powertek Berhad di bawah Program
Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 yang ketujuh.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua
Pegawai Eksekutif Powertek Dr Ong Peng Su berkata pihaknya
memperuntukkan sebanyak RM164,000 untuk membantu kanak-kanak sekolah
mendapat pendidikan berkualiti.
– BERNAMA