Peningkatan kos bahan mentah, isu kuota Bumiputera beban pemaju
PUTRAJAYA: Unjuran harga hartanah akan meningkat sehingga 20 peratus
dalam separuh kedua 2011 bukan disebabkan permintaan pasaran yang
tinggi, tetapi sebaliknya berpunca daripada kenaikan harga bahan binaan
dan kos pembinaan.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA),
Datuk Seri Michael K C Yam, berkata berdasarkan maklum balas diperoleh
daripada sektor berkenaan, 65 peratus berpendapat harga hartanah akan
meningkat sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini.
Sehubungan itu, katanya, 47 peratus pemaju berkata, mereka
bercadang menaikkan harga jualan bagi projek masing-masing sehingga 15
peratus menjelang pelancaran jualannya akhir tahun ini.
“Pemaju kini dibebani kenaikan harga batu bata, besi, simen dan
pasir, selain masalah kekurangan tenaga kerja, manakala sikap tidak
telus dan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) menangani isu
perumahan bagi kuota Bumiputera turut menyumbang kepada peningkatan kos
operasi pemaju.
“Harga batu bata meningkat 27 peratus kepada 42 sen tahun ini
berbanding 33 sen tahun lalu, harga besi kerangka meningkat 13 peratus
kepada RM2,589 satu tan berbanding RM2,285 satu tan pada 2010. Sejak
Julai lalu, harga simen, pasir, batu bata dan besi masing-masing naik
lagi sehingga 46.2 peratus, 81.1 peratus, 47.2 peratus dan 69.5 peratus.
“Jadi, Panel Majlis Kebangsaan REHDA menggesa supaya peruntukan
kuota Bumiputera disemak semula kerana ia antara punca utama pemaju
menanggung kerugian, selain dibebani kenaikan harga bahan binaan,”
katanya ketika dihubungi semalam.
Mengikut syarat sekarang, pemaju mesti memperuntukkan antara 30
hingga 70 peratus unit rumah untuk kuota Bumiputera dan unit yang tidak
terjual hanya boleh dilepaskan jika mendapat kelulusan kerajaan negeri
berkenaan.
Pemaju juga perlu membayar kadar diskaun tujuh peratus untuk kuota Bumiputera sebagai levi kepada kerajaan negeri berkenaan.
Michael berkata, unit rumah kuota Bumiputera kurang diminati
pembeli Bumiputera sendiri kerana ia hanya boleh dijual kepada pembeli
Bumiputera saja, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan pembeli pada
masa depan.
Beliau berkata, fenomena itu menyebabkan pembeli Bumiputera lebih
cenderung membeli unit rumah bukan kuota Bumiputera dan keuntungan
pemaju pula terjejas kerana tidak ada pembeli untuk unit rumah kuota
Bumiputera itu.
Katanya, syarat kuota Bumiputera itu harus dikaji semula kerana
bimbang industri hartanah mungkin diperalatkan sebagai senjata politik
pihak tertentu.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan pasaran hartanah negara masih
kukuh kerana bergantung kepada pembeli tempatan yang menduduki sendiri
hartanah dibeli, sekali gus terlindung daripada kemerosotan ekonomi yang
memberi kesan ketara terhadap pasaran hartanah di negara maju.
Berdasarkan Laporan Kaji Selidik Industri Hartanah REHDA bagi
separuh pertama tahun ini, hanya 52 peratus pemaju, berbanding 55
peratus pemaju pada separuh pertama 2010, melancarkan projek baru.
Walaupun jumlah projek baru berkurangan, purata saiznya bertambah
kepada 150 unit setiap projek pada separuh pertama 2011 berbanding hanya
100 unit bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus membuktikan pemaju
lebih cenderung memilih projek mempunyai permintaan pasaran tinggi.
sumber dari :http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hargarumahnaik20peratus/Article