Monday, October 8, 2012

Lebih banyak dasar diperkenal kawal harga rumah: Chor



KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan lebih banyak dasar yang bersesuaian sekiranya perlu, untuk mengawal harga rumah supaya semua rakyat mampu memiliki rumah sendiri.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, kerajaan sememangnya sedar mengenai peningkatan harga rumah secara mendadak terutama di kawasan Lembah Klang dan beberapa bandar besar di Johor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, faktor yang menyumbang kepada trend peningkatan ialah wujudnya permintaan dan penawaran pada harga yang tinggi, kos tanah dan harga bahan binaan yang meningkat, serta ketersediaan kemudahan dan perkhidmatan di satu-satu tempat.


"Sebagai kerajaan yang mendahulukan rakyat, pelbagai langkah telah dilakukan bagi memastikan setiap rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki tempat tinggal yang selesa," katanya ketika menjawab soalan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh ingin tahu sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedar harga rumah yang ditawarkan oleh pemaju kepada rakyat sekitar Lembah Klang dan beberapa bandar lain meningkat secara mendadak akhir-akhir ini.

Chor berkata, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan menyasarkan pembinaan sebanyak 161,000 unit rumah mampu milik yang merangkumi 78,000 unit akan dibina oleh kerajaan dan 83,000 unit dibina oleh pemaju swasta.

"Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan sendiri akan dijual dengan harga RM35,000 seunit manakala rumah-rumah yang dibina oleh pemaju swasta akan dijual dengan harga RM42,000 hingga RM50,400 seunit," katanya.
Chor berkata, kerajaan juga telah mengambil beberapa pendekatan dalam menangani cabaran peningkatan harga rumah yang mendadak serta penyediaan tempat tinggal kepada seluruh rakyat Malaysia.

Antaranya menyediakan rumah kos rendah sama ada menerusi program perumahan rakyat atau pembinaan oleh pemaju swasta bagi golongan berpendapatan rendah (kurang RM2,500 sebulan) dan menerusi sebuah agensi kerajaan PR1MA Corporation bagi golongan berpendapatan sederhana (antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan).

"Kerajaan turut menyediakan pinjaman sehingga RM45,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun bagi golongan berpendapatan RM750 hingga RM2,500 untuk membina rumah baru di atas tanah sendiri atau tanah yang dimiliki ahli keluarga terdekat. Kemudahan pinjaman ini secara langsung akan meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Di samping itu, Chor berkata, kerajaan turut prihatin dan ingin memastikan agar tidak wujud kegiatan spekulasi yang keterlaluan dalam pasaran hartanah, dengan memperkenalkan semula Cukai Keuntungan Harta Tanah sejak 1 Januari 2010.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan beberapa mekanisme kawalan iaitu melalui pengurangan 'Loan to Value' kepada 70 peratus sahaja bagi pinjaman perumahan untuk pembelian rumah ketiga dan seterusnya.

Tindakan ini akan mengurangkan keupayaan kewangan individu yang terbabit dalam aktiviti spekulator kerana mereka perlu mendahulukan 30 peratus daripada kos harga rumah dengan wang sendiri, katanya. - BERNAMA

sumber dari :
http://www.bharian.com.my/articles/Lebihbanyakdasardiperkenalkawalhargarumah_Chor/Article/

Kenaikan semua kos punca harga rumah melonjak




KUALA LUMPUR 31 Ogos - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) hari ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan kenaikan harga rumah di bandar adalah disebabkan manipulasi harga oleh pemain dalam industri tersebut.
Timbalan Presidennya Datuk FD Iskandar FD Mansor berkata, REHDA tidak pernah sesekali pun menentang kuota hartanah yang diperuntukkan kepada pembeli bumiputera, malah sentiasa menyokong dasar-dasar yang ditetapkan kerajaan Persekutuan.
Justeru, katanya, dakwaan yang menyatakan kenaikan harga kediaman tinggi di bandar adalah sebagai usaha untuk mengusir bumiputera ke luar bandar atau kampung adalah satu tuduhan salah.
Sebaliknya, beliau menegaskan lonjakan harga kediaman di bandar berpunca daripada peningkatan berganda harga tanah kerana kawasan yang ada semakin terhad.
"Pada 10 tahun lalu harga seekar tanah bernilai RM200,000 tetapi hari ini, harganya antara RM15 hingga RM20 sekaki persegi.
"Itu belum lagi masuk kos pembinaan, gaji pekerja dan kos-kos bagi melengkapkan sesebuah projek penempatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan dua penulis ruangan Forum Utusan Malaysia, Bumbung Merah dan Insan 1Malaysia mengenai kenaikan harga rumah yang dikatakan hasil 'permainan harga' REHDA untuk mengusir dan meminggirkan pembeli bumiputera.
Penulis-penulis itu mendakwa harga rumah yang melebihi RM300,000 ke atas hanya mampu dibeli oleh pekerja swasta dan warga asing yang berpendapatan RM6,000 sebulan.
FD Iskandar berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas kerana margin keuntungan syarikat pemaju terbesar negara, SP Setia Bhd. dan Sime Property Bhd. antara 18 hingga 20 peratus sahaja.
"Jika dibandingkan dengan keuntungan yang dicatatkan oleh institusi perbankan, jurangnya tersangat jauh.
"Keuntungan 18 hingga 20 peratus itu dibuat oleh syarikat besar, bayangkanlah kalau pemaju kecil, peratus keuntungan memanglah kecil," katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak 200,000 unit rumah telah dijual dan 50 peratus adalah kediaman baharu manakala bakinya rumah terpakai.
Daripada jumlah berkenaan, menurutnya, hanya 1.3 peratus sahaja dijual kepada warga asing, itu pun kediaman yang berharga RM500,000 ke atas.
"Jumlah kediaman yang dijual kepada warga asing itu sangat kecil berbanding di Singapura sebanyak 36 peratus," katanya.
Beliau berkata, masalah untuk membeli kediaman tidak sepatutnya menjadi isu kerana para pemaju memberi pelbagai pilihan kepada pembeli.
"Sekiranya pembeli mahu berada dalam lingkungan pusat bandar Kuala Lumpur, mereka tidak mempunyai pilihan dengan lonjakan harga kediaman yang akan terus meningkat.
"Pembeli di Kuala Lumpur hanya boleh membuat pilihan jenis kediaman iaitu kondominium, apartmen dan rumah pangsa,'' ujarnya..
Bagaimanapun, katanya, sekiranya pembeli mahu menduduki rumah bertanah pada harga munasabah, mereka masih boleh mendapatkannya di kawasan Bangi, Sungai Buloh, Sepang dan Rawang. Kawasan-kawasan ini juga terletak di kawasan Greater Kuala Lumpur.
"Masalahnya, masih ramai pembeli yang mahu duduk di Kuala Lumpur dengan alasan berhampiran dengan pejabat.
"Rumah memang banyak tetapi harganya mahal," ujar beliau.

sumber dari : http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120901/ek_03/Kenaikan-semua-kos-punca-harga-rumah-melonjak

Harga rumah melambung tinggi




Kuala Lumpur,
SAYA adalah antara 60 peratus kakitangan kerajaan yang belum memiliki rumah sendiri.
Mungkin ramai yang menganggap warga kerajaan disediakan kuarters, maka kami tidak mahu beli rumah sendiri.
Hakikatnya harga rumah semakin naik 10 hingga 20 peratus setahun tidak kira rumah itu baru dibina atau penjualan rumah sekunder.
Sekarang ini, berapa banyak rumah yang dijual pada kadar RM200,000 untuk memenuhi keperluan pertengahan? Melihat kepada pasaran sekarang, rata-ratanya rumah yang dijual melalui projek perumahan baru, harga sesebuah rumah teres bermula RM400,000 dan ke atas.
Yang peliknya, apartmen atau kondominiumpun serupa harganya. Bukankah ia sepatutnya murah sebab tidak melibatkan tanah yang banyak? Melihat kepada pasaran penjualan rumah sekunder harganya bermula RM280,000 dan ke atas. Itupun susah nak dapat.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) pula buat alasan kononnya harga rumah meningkat sebab permintaan melebihi penawaran, kos upah dan kos bahan pula meningkat setiap tahun serta kos perunding pereka bentuk rumah.
Tetapi kenaikan kos-kos ini mengakibatkan harga rumah naik secara mendadak. Umpama segelas air teh tarik RM1, apabila susu naik 20 sen, patutkah harga teh tarik naik RM1.20? Maksud saya, perlu ada kawalan kenaikan harga di sini dan siapa perlu ditanggungjawabkan?
Pemaju perumahan ini membeli bahan pembinaan secara pukal. Sifir untuk dia tanggung kenaikan itu ada tetapi dia serah bulat-bulat kenaikan itu kepada pembeli. Pada masa sama, dia mampu membina kediaman mewah.
Dengan angkuh REHDA kata rumah bawah RM250,000 tidak boleh bina sekarang sebab kos mahal dan tidak berbaloi apabila mendapat keuntungan. Kerakusan manusia tiada batasannya. Semua memikirkan untung satu pihak sahaja. Salah satu penyelesaianya di sini, pemaju boleh membina rumah tanpa memasang jubin lantai.
Aktiviti manipulasi banyak menyumbangkan kepada kenaikan harga rumah serupa pasaran saham. Spekulator kononnya pembeli sengaja menaikkan harga rumah.
Golongan tersebut membeli dengan harga serendah RM500 (booking) dan buat untung atas angin sehingga mencecah RM20,000 semasa jual balik. Pembelian secara pukal oleh syarikat hartanah menghancurkan harapan individu untuk membeli rumah.
Salah satu punca permintaan melebihi penawaran adalah disebabkan tiada kawalan ke atas had pemilikan rumah. Ingatlah rumah ini benda yang paling asas bagi manusia. Kalau benda asas ini dijadikan suatu bentuk perniagaan yang melampau akan mengakibatkan satu ketidakseimbangan sosioekonomi di Malaysia satu hari nanti. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.
Langkah-langkah membendung kenaikan harga hartanah.
n Kementerian Kewangan yang mempunyai kuasa menyediakan dasar seperti penentuan kadar cukai keuntungan harta tanah dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang membantu Kementerian Kewangan dalam melaksanakan polisi berkaitan harta tanah perlu bertindak secara proaktif. Mereka perlu memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya memantau aktiviti urusan jual beli rumah kediaman. Pastikan pembeli terdiri daripada golongan pertengahan memiliki rumah daripada projek perumahan yang dilaksanakan dalam kawasan masing-masing.
n Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (Akta 169) @ RGPT 1976 perlu dikuatkuasakan semula dengan kadar segera. Pelupusan aset dalam tempoh dua tahun selepas tarikh perolehan dikenakan 30 peratus cukai, pelupusan dalam tahun ketiga 20 peratus dan seterusnya. Untuk mudah cara, bekukan penjualan aset selama lima tahun pertama kecuali atas hal-hal yang dibenarkan.
n Pelaburan-pelaburan syarikat tempatan dan multinasional perlu bertumpu kepada negeri-negeri Pantai Timur khasnya di Kelantan. Wujudkan Free Trade Zone serupa di Pulau Pinang. Lebih 50 peratus penduduk Lembah Klang adalah dari negeri-negeri Pantai Timur. Apabila peluang pekerjaan sudah ada, ini akan memudahkan mereka bekerja di negeri sendiri. Secara automatik, permintaan perumahan di Lembah Klang akan menurun dan harga rumahpun menurun.
n Kerajaan mesti wujudkan akta had maksimum harga rumah mengikut kategori (murah, sederhana dan mahal) dan pastikan golongan sasaran memiliknya. Larang kumpulan pendapatan tinggi membeli rumah sederhana dan rendah untuk tujuan spekulasi ataupun penyewaan.
n Putrajaya dan Cyberjaya perlu dibangunkan dengan rumah kediaman kos sederhana.
n Pejabat operasi syarikat multinasional atau cawangan syarikat lebih bertumpu kepada pusat bandar yang dah lengkap dengan segala prasarana, contoh: Damansara, Petaling Jaya. Perlu buka di tempat lain. Contoh: Putrajaya, Dengkil, Sepang.
n Untuk Skim Rumah Pertama (SRP) kerajaan perlu hadkan pinjaman 100 peratus sehingga RM220,000.

Friday, August 3, 2012

Harga simen naik bulan depan




KUALA LUMPUR 27 Julai - Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) hari ini mendakwa senarai harga simen akan meningkat bermula 1 Ogos ini.
Peningkatan ini berikutan salah satu pengeluar utama simen di Lembah Klang menaikan harga bahan tersebut.
Presidennya, Matthew Tee Kai Woon berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh ahlinya dan meminta kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk mengkaji perkara itu dengan serta-merta.
"Harga simen yang disenaraikan mengikut beg naik kepada RM17.75 daripada harga terdahulu RM16.75 manakala harga simen pukal yang disenaraikan mengikut tan naik kepada RM340 berbanding RM320.
"Kenaikan harga akan meningkatkan kos pembinaan," katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.
sumber dari: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120728/ek_03/Harga-simen-naik-bulan-depan

Wednesday, May 16, 2012

Skim Rumah Pertamaku: Pembeli Disaran Rujuk Pihak Bank


       Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meminta golongan muda yang ingin membeli rumah pertama agar berhubung dengan pihak bank selaku pembiaya Skim Rumah Pertamaku dan bukannya pihak pemaju.
Pengerusinya Datuk Wira Idris Haron berkata hanya pihak bank sahaja yang mampu untuk meluluskan semua permohonan pembelian rumah pertama di bawah skim tersebut.
“Ini kerana pihak bank mempunyai semua data tentang maklumat peminjam sama ada seseorang itu benar-benar pembeli rumah pertama atau sebaliknya.
“Dari situ juga pihak bank boleh mengesahkannya dan sekiranya layak, pembeli rumah pertama di bawah skim tersebut berhak memiliki rumah itu tanpa sebarang bayaran deposit,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 di Paya Rumput di sini, Selasa.
Idris berkata golongan muda atau pembeli rumah pertama hanya perlu mencari rumah yang dikehendaki, mengisi borang dan menghantarnya ke 25 buah institusi kewangan terpilih.
Beliau berkata skim tersebut tidak terhad kepada kakitangan kerajaan sahaja di mana kakitangan swasta turut berhak menikmati tawaran skim tersebut dengan syarat mereka adalah pembeli rumah pertama.
Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan pada 8 Mac lepas merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama Cagamas Bhd dan institusi kewangan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.
Melalui skim tersebut, golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun.
Sementara itu dalam majlis yang sama, sebanyak 18 buah sekolah rendah di negeri ini menerima sumbangan kewangan berjumlah RM77,000 daripada Powertek Berhad di bawah Program Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 yang ketujuh.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Powertek Dr Ong Peng Su berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM164,000 untuk membantu kanak-kanak sekolah mendapat pendidikan berkualiti.
– BERNAMA

Harga hartanah ‘gila’


Gambar Hiasan

Gambar Hiasan
BEKAS Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengatakan harga hartanah kediaman di Malaysia adalah terlalu tinggi, dan jauh di luar kemampuan rakyat.
Beliau menggesa kerajaan mempercepatkan langkah-langkah kawalan dan menghentikan tindakan pemaju yang “merosakan” pasaran, mengikut laporan Nanyang Siang Pau pada Isnin lepas.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan yang sering di tekankan oleh pemain industri hartanah bahawa harga hartanah di negara ini adalah lebih rendah berbanding beberapa negara jiran adalah mengelirukan.
Veteran Umno ini menegaskan bahawa “kerajaan perlu berhati-hati, mesti melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat”.
Pada kenaikan mendadak harga hartanah dalam tempoh dua tahun yang lalu, beliau berkata “harga hartanah naik macam gila”.
Mengenai dakwaan oleh pemaju dan ejen hartanah bahawa tidak ada gelembung hartanah di Malaysia dan harga di sini adalah lebih rendah berbanding di negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong, Daim berkata, “Sudah tentu, pendapatan mereka lebih daripada kita”.
Beliau berkata Singapura secara purata, pendapatan mereka lebih tinggi daripada purata rakyat Malaysia, dan Hong Kong pula kerana tanah terhad manakala di Malaysia masih punyai tanah yang banyak.
Beliau mengulangi bahawa pandangan yang dinyatakan oleh ramai pemain dalam industri hartanah adalah mengelirukan.
Beliau berkata kelonggaran kerajaan mengenai cukai keuntungan harta tanah pada masa lalu dan kelonggaran bank pusat ke atas dasar pinjaman dan garis panduan mengenai pinjaman perumahan telah menimbulkan terlalu banyak aktiviti spekulatif dalam industri.
Katanya hartanah mewah adalah di luar jangkauan rakyat Malaysia.
Beliau berkata kerajaan juga perlu jelas bahawa rakyat mahukan sebuah rumah yang mereka mampu dan yang bakal meningkat nilai pada masa akan datang.
Rakyat juga mahu pekerjaan, dengan gaji yang mampu untuk memenuhi keperluan mereka, katanya.
Selepas itu dapat keluar dari institusi atau sekolah yang baik, dan harga barangan yang berpatutan , tambahnya.
“Jika kerajaan mengambil berat keperluan rakyat, mereka tidak akan mempertimbangkan untuk menukar kerajaan,” katanya.
Daim juga bersetuju dengan pelaksanaan dasar gaji minimum tetapi berkata bahawa produktiviti perlu dipertingkatkan seiring. Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengawal inflasi, katanya.
Sambil menjelaskan bahawa seseorang yang berpendapatan RM3, 000 sebulan masih mendapati sukar untuk hidup di Kuala Lumpur hari ini, beliau merasakan bahawa gaji minimum yang sepatutnya ditetapkan pada RM1, 200 sebulan.

sumber dari : http://www.drumah.com/harga-hartanah-gila-daim/3295.html

Monday, February 27, 2012

Harga Rumah Di Malaysia Semakin Melonjak Naik? Anda Terasa?


Apabila sebut sahaja topik realiti harga rumah di Malaysia hari ini, ramai yang akan garu dan geleng kepala. Tapi ada juga yang senyum sampai ke telinga melihat situasi sekarang ini. Terutamanya harga rumah di sekitar Kuala Lumpur & Selangor. Adakala ramai yang beranggapan harga rumah yang ditawarkan ketika ini amat menakutkan dan tak masuk akal. Persoalannya, mampukah rakyat biasa membelinya?
Okey kami berikan contoh dan situasi harga rumah di Kuala Lumpur & Selangor. Antaranya :
  •  Di sekitar kawasan Kepong, Manjalara, Segambut untuk harga rumah double storey corner lot (22×75) harganya dah mencecah antara RM500-RM600K. Anda mampu?
  • Harga rumah di Hartamas Semi-D berharga RM1.5 juta. Dah tak main ratus-ratus ribu lagi dah….Kondominimum pun sama, mudah-mudah sahaja boleh cecah RM1.3 juta. Anda mampu?
  • Sama juga dengan di Mont Kiara. Kebanyakan kondo bernilat jutaan ringgit. Kalau di One Menerung, Bangsar dengan 2000sqft kondo dah mencecah RM2.4 juta. Anda mampu?
  • Cheras sekitar Alam Damai – Harga rumah bermula pada harga RM500,000. Anda mampu?
Takkan tiada harga rumah yang mampu milik? Ada tu memang ada. Anda boleh cuba mencari dan mendapatkannya di sekitar :
  • Sijangkang, Kuala Kubu Baru, Banting, Beranang, Bentong, Semenyih, Batang Berjuntai, Kota Puteri. Harga rumah di sana boleh tahan murah lagi. Selain itu, boleh cuba cari juga di sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa. Masih banyak lagi rumah murah di sana.
  • Ataupun, cubalah mengambil inisiatif mendapatkan rumah lelong. Anda mungkin berpelung mendapatkan harga yang lebih rumah.
Kadang-kadang mentaliti sekarang ini walaupun tak semuanya tapi sebilangan yang mahukan rumah yang mampu milik tetapi bercita-cita besar mahu lokasinya di tengah-tengah Kuala Lumpur, baru urban katanya. Kalau di Bukit Belacan tak mahu, tempat jin bertandang.
Kalau MRT dah siap nanti, lagi mencanak-canak naik harga rumah. Itu sebabnya ramai ejen hartanah yang mengambil peluang ini :
  • Kalau anda nak jual rumah yang berdekatan dengan MRT, ejen hartanah akan memberikan pendapat negetif kepada anda mengatakan kononnya persekitaran akan jadi tak cantik & selesa, bising dengan harapan anda menjual kepadanya kelak.
  • Berlainan pula, kalau anda nak beli rumah berdekatan dengan MRT, ejen hartanah itu meletakkan pada harga yang tinggi dengan disokong kemudahan MRT selain persekitaran yang selesa
Kadang-kadang spekulasi yang melampau-lampau juga penyebabnya. Nah, kami bawakan satu contoh kepada anda. Lihat iklan harga rumah untuk dijual :
Harga rumah RM370,000, padahal 2 tahun lepas baru (2009) bernilai RM250,000.
Kalau nak beli rumah, apa langkah-langkah yang perlu dilakukan antaranya ialah :
  1. Pertama sekali pastinya melihat harga rumah dibuka semasa hari pertama launching. Bukan 3-4 bulan baru nak tengok.
  2. Semak rekod developer/pemaju berkenaan stabil atau tidak.
  3. Kemudian, tengok master plan perancangan kawasan. Adakah developer akan sumbat flat PPRT atau tidak? Kemudahan-kemudahan yang bakal disediakan nanti. Kualiti of work semasa bina rumah tersebut dengan melihat rumah contoh mereka dan beberapa perkara lain lagi. Anda boleh kongsikan juga di ruangan komen di bawah….
  4. Dah berpuas hati kesemuanya, baru boleh ambil keputusan bijak membelinya
Ada yang kata jangan ambil keputusan supaya jangan membeli pada waktu sekarang, betulkah begitu?
  • Ada yang meramalkan harga rumah & hartanah akan jatuh merundum dalam masa terdekat. jadi kepada sesiapa yang beli rumah rumah terlebih nilai sekarang ini untuk pelaburan akan mengalami kerugian besar di masa akan datang.
  • Tetapi, kami kami dengar desas-desus yang mengatakan nilai hartanah kan jatuh merudum, teringat pula kami nilai hartanah pernah hartanah jatuh menjunam dari tahun 97 lagi, tetapi akhirnya meereka-mereka yang masih takut-takut nak beli rumah ini jugalah yang sampai ke sudah tinggal menyewa tuan rumah kaya. yang bijak mengambil kesempatan sibuk rebut rumah yang ada sekarang ini. Akhirnya lihatlah sekarang ini, harga rumah dah mencecah RM400-RM500k.
  • Pendapat anda pula bagaimana?
Ya….kami faham dan rakyat Malaysia juga ada yang faham hartanah tidak boleh statik sahaja. Itu faktanya. Kalau hartanah masih bersifat statik, siapa yang nak buat rumah selepas ini? Siapa yang nak melabur bagi urusniaga jual beli rumah selepas ini? Yang pentingnya harga rumah adalah aset rumah adalah simpanan yang paling menguntungkan selepas emas. Keuntungan cukai pun kerajaan ambil banyak daripada pasaran hartanah di Malaysia. tetapi, tetapi dalam pada masa yang sama perlulah ada satu dasar yang mampu memabntu golongan yang berpendapatan serdahana yang bekerja di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur dan Selangor.
Adakala rakyat terpaksa “berkorban” untuk tinggalkan cita-cita kediaman yang penuh dengan impian dek kerana tak berkemampuan. Jadi sudah tibanya kerajaan Malaysia bertindak serius memantau daan melakukan sesuatu tindakan melihatakan keadaan harga rumah sekarang ini walaupun kerajaan sampai ke hari ini belum lagi berkemampuan untuk mengawal harga ayam.

P/S : Kami tetap menaruh harapan dan keyakinan yang kerajaan mampu melakukan sesuatu….untuk membantu rakyatnya sendiri.

sumber dari :http://businessmalaysia.my/harga-rumah-di-malaysia

Friday, February 10, 2012

Nilai Hartanah Malaysia Semakin Naik

hartanah malaysia 6 Nilai Hartanah Malaysia Semakin Naik & Tiada Property Bubble?
Nilai hartanah Malaysia terus meningkat naik. Siapa yang boleh menyangka harga flet kos rendah dijangka boleh meningkat kepada kepada RM200,000 menjelang 2015 di bandar-bandar utama negara bagi pasaran terbuka. Dah tak lama dah, sekurang-kurangnya 4 tahun daripada sekarang.
Nampak potensinya? Ada yang mengatakan baik beli rumah sekarang, nanti tahun 2015 boleh untung besar. Tetapi, tetapi….ada pendapat mengatakan nanti dulu. Sabar…….Tunggu sekitar tahun 2012 atau 2013 yang mana dijangka akan berlakunya property bubble. Apa pendapat anda?  Kalau melihat pada unjuran yang diberikan bagi peningkatan harga flet kos rendah bukan sesuatu yang mustahil akan berlaku. Sebagai contoh :
Rumah flet seksyen 7 di Shah Alam, Selangor (Pemaju PKNS) sebagai contohnya :
  • Harga yang dibuka untuk dijual pada sekitar tahun 1999 sekitar RM40,000 hingga RM50,000 ( Ada 3 jenis rumah masa itu)
  • Harga flet yang dijual oleh ejen pada tahun 2006 telah mencecah RM65,000 ( Pada masa itu nilai rumah mengikut perkiraan bank sekitar RM59,000)
  • Pada tahun 2008, harga rumah flet tersebut boleh dijual sehingga RM85,000
  • Tahun 2010, harganya sudah mula melambung sekitar RM100,000. Senang-senang boleh jual pada harga tersebut.
Contoh lain pula, nilai hartanah di sekitar Kota Damansara yang melonjak tinggi yang mana dalam 2,3 tahun sahaja harga rumah boleh naik sekali ganda :
  • Pada tahun 2007, harga seunit pangsapuri RM95,000 dan ke atas
  • Tahun 2010, harganya telah meningkat sampai RM185,000
Rumah merupakan satu pelaburan. Daripada masa ke semasa nilai hartanah Malaysia akan meningkat dan terus melambung tinggi. Kalau beli tanah, kemudian buat rumah lagi untung besar. Berbeza dengan kereta di mana nilai kereta akan menyusut daripada masa ke semasa. Anda ada baca kenyataan Pengerusi MAA dalam akhbar tempoh hari yang mengatakan jualan kereta tahun 2010 amat memberansangkan dan semenjak tahun 2009 nampak peningkatan ketara di situ dan dijangka tahun 2011 lagi banyak orang akan membeli kereta. Itu yang dilihat sekarang terutamanya golongan muda, mampu beli kereta mahal-mahal sedangkan masih lagi duduk menyewa. Mungkin ada sebab-sebab tertentu mereka berbuat begitu. Walaubagaimanapun, kebanyakan golongan muda hari ini cara hidup mereka :
“Biar papa, asal bergaya”
hartanah malaysia 51 Nilai Hartanah Malaysia Semakin Naik & Tiada Property Bubble?
Tetapi itulah nak beli rumah kena tengok tempat juga. Lihat apa yang jadi di sekitar Bukit Beruntung. Pada masa sekarang, “tak beruntung langsung” siapa yang beli di sana. Tetapi suasana mungkin akan berubah jikalau diletakkan sesuatu yang menjadi tumpuan ramai di situ, contohnya sebuah kampus universiti ataupun perkhidmatan pengangkutan awam dipertingkatkan. Walaubagaimanapun, realitinya kalau beli 5 tahun dahulu, tahun 2010 nilai hartanah di sana jatuh sampai setengah harga. Lagipun pada masa itu, kerajaan Selangor mensasarkan pembangunan di sekitar Serdang, Kajang dan Bangi.  Dalam masa yang sama, Bukit Beruntung adalah salah satu daripada masalah spekulasi hartanah. Kasihan kepada pembeli di sana. Kalau lelong rumah harga RM10,000 belum tentu laku. Kalau nak dibandingkan Malaysia dengan Jepun sangat jauh berbeza.
  • Penduduk Jepun yang tinggal 100 km daripada tempat bekerja di bandar besare seperti di Tokyo, masih mampu duduk di rumah yang cukup selesa pada harga yang berpatutan dan dalam masa yang sama tak perlu risau  walaupun rumah mereka jauh daripada tempat kerja. Setakat nak ulang alik setiap hari dengan jarak 100km  lke tempat kerja “senyum sahaja” mereka. Mereka naik keretapi laju setiap kali pergi kerja
  • Di Malaysia, berapa ramai boleh tahan tinggal di Seremban kerja di Shah Alam, berulang-alik setiap hari?
Tetapi itulah, kalau harga nilai hartanah Malaysia terus meningkat yang sengsara nanti ialah golongan yang berpendapatan serdahana. Sudahlah tak mampu beli rumah, tak layak pula dapat PPRT. Yang kaya boleh beli hartanah banyak-banyak. Akhirnya nanti pasaran hartanah hanya berlegar dan berpusing-pusing sekitar orang-orang kaya dan market manipulator. Lihat sahaja sekitar Shah Alam, berpeluh dibuatnya apabila melihatkan nilai hartanah di sana. Harga-harga rumah di sana  teramatlah mahal. Rumah semi-D rata-rata lingkungan RM1.2 juta.
Yang dibimbangkan di sini, apabila harga rumah yang begitu tinggi, maka makin kuranglah peluang terutamanya golongan Bumiputera utnuk memiliki rumah-rumah double storey atau rumah-rumah yang mempunyai prasarana yang bagus. Lihatlah kawasan-kawasan dan bandar-bandar baru di Shah Alam contohnya, Kota Kemuning, Bukit Rimau, Kemuning Greenville, Kemuning Utama, Bandar Botanic, Bandar Puteri, Bandar Putera, Alam Impian, Putra Heights, D Kayangan, Glenmarie Temasya, Zero Lot di Glenmarie, Bukit Jelutong, Cahaya SPK, Setia Alam dan banyak lagi projek-projek perumahan gah di Selangor ini.
Kalau anda ke sana, hampir 90% pemilik dan penghuni rumah-rumah mewah sederhana ini tidak dimiliki oleh kaum Melayu. Kaum Melayu awal-awal sudah angkat bendera tak mampu nak beli. Mana perginya peranan pihak berwajib sehingga jadi begini rupa? Adakah mereka-mereka ini memikirkan soal ini semua? Di manakah keprihatinan mereka? Dan masalah ini semua bermula apabila  kuasa membeli perumahan-perumahan serdahana telah semakin hilang dan terjadilah apa yang kita lihat hari ini dikalangan Bumiputera. Apabila bercakap majoriti Melayu nak beli rumah flet kos murah pun tak mampu, inikan pula nak bersembang berkenaan rumah-rumah mewah? Lupakan sahaja…..
hartanah malaysia Nilai Hartanah Malaysia Semakin Naik & Tiada Property Bubble?
Cuba lihat kenyataan Menteri Datuk Chor Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun lalu:
SHAH ALAM: The Housing and Local Government Ministry does not foresee a property “bubble” in the country, where a rise in prices will be followed by a rapid reduction. Minister Datuk Chor Chee Heung said that so far this year, property prices had increased by 37%, unlike Singapore and Hong Kong where the figure had already exceeded by 35% last year. He said the increase in property prices since 2008 was due to the high cost of land, building material and entry of foreign companies into the sector. StarProperty
Kalau dah nilai hartanah Malaysia setahun meningkat sehingga 37% masih belum boleh dikatakan property bubble? Pastikah kenyataan seperti itu wahai menteri? Mengikut kenyataan sebelum ini, penganalisis sektor kewangan bersependapat dengan OSK. Apa yang mereka katakan? Dijangka pada tahun ini, adalah waktu yang terbaik untuk jual rumah dan turut dijangkakan yang mana pada tahun 2012 dan 2013 adalah masa yang terbaik untuk beli rumah kerana pada masa itu banyak rumah lelong dan dijual pada harga yang rendah. Jadi kepada semua, kita tunggu dan lihat. Kepada yang berkemampuan, mulalah menyimpan tunai untuk beli rumah lelong pada tahun tersebut.
hartanah malaysia 2 Nilai Hartanah Malaysia Semakin Naik & Tiada Property Bubble?
Hujah-hujah yang mengatakan tiada property bubble ini juga datang daripada REDHA. Kalau mereka (REDHA) mengaku akan berlaku “property bubble” dalam masa terdekat , siapa yang nak beli rumah pada masa itu? Nampak? Baik semua tunggu sahaja “bubble burst”, betul tidak? Katakanlah tak betul akan berlakunya property bubble, kenapa BNM meningkatkan Kadar Dasar Semalam (OPR) sebanyak 3 kali tahun 2010?
Pelik, pertumbuhan ekonomi tidak benar-benar berkembang, kekayaan negeri tidak benar-benar melonjak naik tetapi dalam masa yang sama nilai hartanah Malaysia telah meningkat tinggi. daripada masa ke semasa. Adakah ini masih bukan lagi dikatakan tidak ada tanda-tanda akan berlakunya property bubble?
Kalau anda semak bajet 2011 sebelum ini, kemudan pinjaman rumah bagi kakitangan kerajaan naik sampai RM450,000. Yang peliknya di sini, gaji tak naik tapi loan naik, nak bayar pakai apa? Rumah RM450,000 kalau ambil loan  bayaran bulanan sekitar RM3000, berapa ramai kakitangan kerajaan yang mampu? Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  tak terfikir ker dengan menaikkan loan rumah, pihak pemaju pun akan mengambil kesempatan menaikkan harga rumah Malaysia selepas itu?

sumber dari : http://beritasemasa.com/nilai-hartanah-malaysia-nai-property-bubble