Wednesday, May 16, 2012

Skim Rumah Pertamaku: Pembeli Disaran Rujuk Pihak Bank


       Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meminta golongan muda yang ingin membeli rumah pertama agar berhubung dengan pihak bank selaku pembiaya Skim Rumah Pertamaku dan bukannya pihak pemaju.
Pengerusinya Datuk Wira Idris Haron berkata hanya pihak bank sahaja yang mampu untuk meluluskan semua permohonan pembelian rumah pertama di bawah skim tersebut.
“Ini kerana pihak bank mempunyai semua data tentang maklumat peminjam sama ada seseorang itu benar-benar pembeli rumah pertama atau sebaliknya.
“Dari situ juga pihak bank boleh mengesahkannya dan sekiranya layak, pembeli rumah pertama di bawah skim tersebut berhak memiliki rumah itu tanpa sebarang bayaran deposit,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 di Paya Rumput di sini, Selasa.
Idris berkata golongan muda atau pembeli rumah pertama hanya perlu mencari rumah yang dikehendaki, mengisi borang dan menghantarnya ke 25 buah institusi kewangan terpilih.
Beliau berkata skim tersebut tidak terhad kepada kakitangan kerajaan sahaja di mana kakitangan swasta turut berhak menikmati tawaran skim tersebut dengan syarat mereka adalah pembeli rumah pertama.
Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan pada 8 Mac lepas merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama Cagamas Bhd dan institusi kewangan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.
Melalui skim tersebut, golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun.
Sementara itu dalam majlis yang sama, sebanyak 18 buah sekolah rendah di negeri ini menerima sumbangan kewangan berjumlah RM77,000 daripada Powertek Berhad di bawah Program Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 yang ketujuh.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Powertek Dr Ong Peng Su berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM164,000 untuk membantu kanak-kanak sekolah mendapat pendidikan berkualiti.
– BERNAMA

Harga hartanah ‘gila’


Gambar Hiasan

Gambar Hiasan
BEKAS Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengatakan harga hartanah kediaman di Malaysia adalah terlalu tinggi, dan jauh di luar kemampuan rakyat.
Beliau menggesa kerajaan mempercepatkan langkah-langkah kawalan dan menghentikan tindakan pemaju yang “merosakan” pasaran, mengikut laporan Nanyang Siang Pau pada Isnin lepas.
Beliau menegaskan bahawa kenyataan yang sering di tekankan oleh pemain industri hartanah bahawa harga hartanah di negara ini adalah lebih rendah berbanding beberapa negara jiran adalah mengelirukan.
Veteran Umno ini menegaskan bahawa “kerajaan perlu berhati-hati, mesti melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat”.
Pada kenaikan mendadak harga hartanah dalam tempoh dua tahun yang lalu, beliau berkata “harga hartanah naik macam gila”.
Mengenai dakwaan oleh pemaju dan ejen hartanah bahawa tidak ada gelembung hartanah di Malaysia dan harga di sini adalah lebih rendah berbanding di negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong, Daim berkata, “Sudah tentu, pendapatan mereka lebih daripada kita”.
Beliau berkata Singapura secara purata, pendapatan mereka lebih tinggi daripada purata rakyat Malaysia, dan Hong Kong pula kerana tanah terhad manakala di Malaysia masih punyai tanah yang banyak.
Beliau mengulangi bahawa pandangan yang dinyatakan oleh ramai pemain dalam industri hartanah adalah mengelirukan.
Beliau berkata kelonggaran kerajaan mengenai cukai keuntungan harta tanah pada masa lalu dan kelonggaran bank pusat ke atas dasar pinjaman dan garis panduan mengenai pinjaman perumahan telah menimbulkan terlalu banyak aktiviti spekulatif dalam industri.
Katanya hartanah mewah adalah di luar jangkauan rakyat Malaysia.
Beliau berkata kerajaan juga perlu jelas bahawa rakyat mahukan sebuah rumah yang mereka mampu dan yang bakal meningkat nilai pada masa akan datang.
Rakyat juga mahu pekerjaan, dengan gaji yang mampu untuk memenuhi keperluan mereka, katanya.
Selepas itu dapat keluar dari institusi atau sekolah yang baik, dan harga barangan yang berpatutan , tambahnya.
“Jika kerajaan mengambil berat keperluan rakyat, mereka tidak akan mempertimbangkan untuk menukar kerajaan,” katanya.
Daim juga bersetuju dengan pelaksanaan dasar gaji minimum tetapi berkata bahawa produktiviti perlu dipertingkatkan seiring. Pada masa yang sama, kerajaan perlu mengawal inflasi, katanya.
Sambil menjelaskan bahawa seseorang yang berpendapatan RM3, 000 sebulan masih mendapati sukar untuk hidup di Kuala Lumpur hari ini, beliau merasakan bahawa gaji minimum yang sepatutnya ditetapkan pada RM1, 200 sebulan.

sumber dari : http://www.drumah.com/harga-hartanah-gila-daim/3295.html