Tuesday, January 3, 2012

SRP: Harga Maksimum RM220,000 vs RM400,000

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, saya akan membuat sedikit review berkenaan perubahan yang diumumkan di dalam Bajet 2012 terdahulu ke atas Skim Rumah Pertamaku (SRP).  Perubahan yang dimaksudkan tersebut adalah syarat pembelian hartanah berharga had maksimum RM220,000 dinaikkan kepada RM400,000.

Apakah kesannya kepada bakal pembeli terutamanya mereka yang terlibat – iaitu golongan yang berpendapatan (isirumah) kurang RM3,000 ke atas perubahan ini?

Kesan Positif Kenaikan Had Harga
Sejak mula saya menulis tentang SRP ini, rata-ratanya ramai yang tidak bersetuju dengan had harga maksimum pada RM220,000 yang diletakkan sebagai syarat pembelian di bawah skim ini.  Majoritinya adalah mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan juga Johor Bahru.   Di bandar-bandar seperti ini harga rumah flat kos rendah mencapai RM80,000 dan secara puratanya apartment kos sederhana berharga sekitar RM200,000 – RM300,000.  Kalau nak cerita rumah bertanah (landed) seperti rumah teres di Kuala Lumpur atau Lembah Klang, terus terang boleh lah saya kata kita lupakan sahaja kalau budget yang ada adalah RM220,000.  Oleh itu kenaikan ini merupakan satu berita yang baik dan nampaknya kerajaan mendengar rungutan rakyat tentang permasalahan yang berlaku.. tetapi..

Kesan Negatif Kenaikan Had Harga
Jika had harga ini dinaikkan, dan had pendapatan masih tidak diubah kepada dari RM3,000 kepada yang lebih tinggi… siapakah yang mampu membeli rumah berharga sehingga RM400,000 tersebut?.. di dalam posting saya terdahulu juga terdapat komen yang secara terus terang menyatakan dengan pendapatan RM3,000 pun masih tidak mampu untuk membeli rumah berharga RM220,000.  Jika kita lihat perkiraan mudah, rumah berharga RM220,000 memerlukan pembayaran bulanan sebanyak lebih kurang RM1,000 sebulan – dan ini bermakna ianya adalah 1/3 dan memadai untuk baki 2/3 bagi menampung kos lain seperti kereta, belanja seharian diri sendiri dan anak-anak (kalau hutang tidak banyak..)..     Oleh itu jika ianya dinaikkan kepada RM400,000 – bayaran bulanan akan menjadi sehingga ~RM2,000 sebulan dan saya tidak fikir ramai diantara mereka yang membuat pembayaran 2/3 dari pendapatan mereka untuk rumah mereka diluar sana.  Jika ditambah dengan komitmen-komitmen lain, ditakuti golongan ini yang layak pada mulanya akan mengalami kepayahan untuk meneruskan pembayaran dan seterusnya menyebabkan rumah tersebut dilelong akibat kegagalan membuat pembayaran.

Kesimpulannya.. saya melihat perkara ini dari 2 sudut…

Pertama, syarat gaji maksimum mestilah dinaikkan seiring dengan kenaikan had harga maksimum pembelian.  Saya melihat had gaji yang mungkin relevan adalah RM5,000 kerana jika dilihat pada kos saraan di bandar-bandar besar, pendapatan isirumah RM5,000 tidak lagi dikira besar, dan jika ditolak bayaran rumah berharga RM400,000 pada ansuran lebih kurang RM2,000 sebulan, ianya lebih munasabah.  Walau bagaimanapun, ini akan menyebabkan skim yang bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah ini akan digunapakai juga oleh golongan berpendapatan sederhana yang mana mereka sudahpun mempunyai kelebihan berbanding golongan berpendapatan rendah.

Kedua, had harga dikaji semula kepada RM300,000 sahaja (kawasan bandar sahaja) dan had gaji RM3,000 boleh dikekalkan atau mungkin dinaikkan sedikit kepada RM4,000.  Ini adalah untuk memastikan Skim ini mencapai matlamat asalnya untuk membantu golongan berpendapatan rendah. Di dalam masa yang sama, ianya diharapkan tidak menyebabkan golongan ini mengalami masalah membuat pembayaran ansuran bulanan yang tinggi dan seterusnya menyebabkan rumah mereka dilelong.  Pada pendapat saya, di lembah klang sendiri, hartanah yang selesa boleh dibeli pada harga di bawah RM300,000 seperti apartment kos sederhana bersaiz lebih kurang 1,000k.p. dan ini adalah memadai untuk mereka yang mahu memulakan kehidupan berkeluarga serta golongan terlibat ini kerana yang lebih penting adalah mereka mampu untuk memiliki rumah sendiri dan tidak mengalami masalah dalam membuat pembayaran deposit dan juga ansuran bulanan.
Oleh itu sedikit kajian perlu dilakukan semula terhadap pengumuman kenaikan had harga tersebut supaya golongan sasaran dapat mendapat faedah dari skim ini dan di dalam masa yang sama tidak akan membebankan mereka pada kemudian hari dalam membuat pembayaran.

sumber dari http://tipshartanah.com/2011/10/srp-harga-maksimum-rm220000-rm400000/

1 comment:

Unknown said...

Rumah setiap tahun naik harga..makin lama makin x mampu nak beli..