Saturday, July 6, 2013

Faktor bahan binaan naik harga

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengenal pasti tiga faktor kenaikan harga bahan mentah pembinaan setiap tahun antaranya kenaikan bahan bakar, tarif elektrik dan kadar faedah bank yang menyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran bahan mentah, upah, alat ganti, pengangkutan dan kos pinjaman atau kredit.
Selain itu, perubahan harga bahan mentah import di pasaran antarabangsa yang menggunakan kandungan import seperti besi dan kabel juga menjadi antara penyumbang kepada peningkatan harga berkenaan. Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata, faktor ketiga ialah pertumbuhan pesat projek pembinaan yang menyumbang kepada peningkatan permintaan bahan binaan. Katanya, Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8)(2001-2005), pelaksanaan projek adalah konsisten setiap tahun memandangkan peruntukan awal RMK-8 RM110 bilion iaitu lebih rendah berbanding RMK9 (RM220 bilion).

“Dalam tempoh awal pelaksanaan RMK9 iaitu dua tahun pertama terutamanya akhir tahun 2006 sehingga pertengahan 2007, pelbagai projek rancak dilaksanakan bagi memastikan apa yang dirancangkan siap dalam tempoh berkenaan dan mewujudkan permintaan tinggi.
“Bagi RMK10 pula, jumlah peruntukan adalah sebanyak RM230 bilion di samping projek Program Penggerak Ekonomi (EPP) yang telah diumumkan sehingga kini berjumlah 141 projek dengan anggaran pelaburan bernilai RM209 bilion,” katanya.

Sementara itu, Judin berkata, simen adalah bahan mentah yang menunjukkan peningkatan paling ketara apabila ia menunjukkan kenaikan sebanyak 9.75 peratus pada 2011, 3.13 peratus pada awal 2012 dan 5.58 peratus pada suku ketiga 2012. Keseluruhannya harga simen mencatatkan peningkatan tahunan pada kadar lebih 6.16 peratus.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Faktorbahanbinaannaikharga//Article/index_html

No comments: