Tuesday, December 18, 2012

Perumahan 1 Malaysia (PRIMA)



      Kerajaan akan membina 42,000 unit rumah di 20 lokasi di sekitar Lembah Klang, Rawang dan Seremban di bawah skim Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang diperuntukkan untuk golongan isurumah berpendapatan di antara RM2,500 hingga RM6,000 sebulan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan fasa pertama PR1MA di Putrayaja, Isnin, turut mengumumkan pembeli rumah berkenaan akan dikecualikan bayaran setem duti serta boleh mendapat pinjaman bank sehingga 105 peratus menerusi skim berkenaan.

Najib turut mengumumkan menerusi skim PR1MA juga, sebanyak 5284 unit rumah akan dibina di Putrajaya dalam tempoh lima tahun dan daripada jumlah itu 1317 unit akan dibina tahun tahun hadapan, 1107 pada 2013 dan selebihnya pada 1015 dan 2016.

"Kerajaan menyedari kesulitan yang dihadapi oleh golongan yang berpendapatan sederhana yang tidak mampu membeli rumah berharga tinggi tetapi pada masa yang sama juga tidak layak dipertimbangkan dalam program perumahan awam kos rendah sedia ada.

“Kerajaan amat prihatin terhadap kesulitan yagn dihadapi golongan ini yang tidak mampu membeli rumah berharga tinggi dan pada masa yang sama tidak layak dipertimbangkan dalam program perumahan awam kos rendah yang sedia ada.

"Pelaksanaan PR1MA ini akan dapat membantu ke arah mencapai matlamat Dasar Perumahan Negara bagi menyediakan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik," katanya.

Najib berkata perlaksanaan PR1MA akan ditumpukan di kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara dan sebagai permulaan ia akan dilaksanakan di sekitar Lembah Klang. Katanya, pembinaan rumah-rumah ini dirancang supaya berdekatan dengan laluan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk memudahkan rakyat mengurangkan kos pengangkutan dan berjimat untuk memperbaiki kualiti hidup.

Najib berkata kerajaan telah menggariskan beberapa garis panduan untuk pihak berkuasa tempatan dan pemaju perumahan bagi skim PR1MA, antaranya keluasan setiap unit rumah mestilah antara 800 sehingga 1400 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Harga jualan setiap unit rumah PR1MA adalah antara RM150,000 hingga RM300,000, bergantung kepada lokasi dan saiz unit. Pemohon mestilah pembeli kali pertama dan perlu mendiami kediaman itu dan pemohon boleh mendapatkan pinjaman sehingga 105% dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun. Duti setem juga dikecualikan,” katanya.

Najib berkata, bagi menyelaraskan pembinaan dan pengagihan PR1MA di seluruh negara dibuat dengan adil, satu unit khas di bawah pejabat Perdana Menteri akan ditubuhkan. “Ia bagi mengelakkan aktiviti spekulasi di kalangan pembeli yang bertujuan menjual bagi mendapatkan keuntungan serta merta,” katanya.

Dalam pelancaran itu Najib turut mengumumkan Presint 11, Putrajaya dipilih menjadi tapak pertama skim PR1MA di mana sebanyak 560 unit pangsapuri akan dibina di kawasan seluas 7.6 ekar dengan unit rumah yang berkeluasan 1006 kaki persegi dan 815 kaki persegi. Ia dilengkapi dengan dewan serbaguna, taska, tadika, surau dan lot perniagaan. – 4/7/2011- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL.

Sumber dari : http://agendadaily.com/Nasional/prima-dilancar-42000-unit-rumah-akan-dibina-di-20-lokasi-untuk-golongan-pendapatan-sederhana.html

No comments: